Tuesday, 16 August 2011

RaMaDaHaN....BuLaN tArBiAh.....

SALAM....



Ramadhan yang menjelang menjanjikan 1001 macam jenis tarbiah dan kesedaran. Di bulan yang penuh barokah inilah syaitan-syaitan di belenggu dan nafsu-nafsu dikekang. Sayugialah kita mengambil peluang keemasan ini untuk menimba ilmu dan pelajaran dari madrasah Ramadhan yang hanya muncul sebulan dalam setahun yakni sekali sahaja dalam setahun.

Antara tarbiah yang seharusnya dijadikan pakaian hidup ialah sifat "empathy", merasakan kesusahan dan penderitaan manusia yang lain di dalam diri kita. Kesukaran menahan lapar dan dahaga, juga menahan kemhuan duniawi, seharusnya berjaya mendidik kita untuk merasai penderitaan dan kedaifan insan lain yang kurang bernasib baik dari kita. Sifat ini tidak akan dapat dirasai seandainya kita menjalani ibadah puasa tanpa ada rasa tawaddhuk dan hina diri kepada Allah. Seandainya dalam timbangan perasaan kita, Ramadhan yang ke ini masih belum berjaya menjadikan kita insan yang tawadhuk dan empathy, maka usahakanlah dengan segera agar sisa-sisa baki Ramadhan ini dapat dimanfaatkan untuk mendidik hati kita. Kerana kedua-dua sifat inilah yang bakal membantu kita mengungkai dua sifat mazmumah yang bersarang dalam diri kita iaitu sifat ujub dan riyak.

 Sifat mazmumah inilah yang menghalang kita untuk berlaku tawadhuk dan rendah diri sesama manusia. Sifat mazmumah inilah yang menjadikan diri kita suci bagai insan yang telah dijamin syurga lantas kita memandang hina dan berburuk sangka kepada manusia yang lain. Sifat mazmumah inilah yang menjadikan kita tertipu dalam ibadah kita. Dan yang paling malang, sifat mazmumah inilah yang bakal menjadi asbab untuk kita dicampakkan ke dalam neraka. Wal iyazubillah.

Kepada sahabat yang amat aku hargai persahabatan ikhlas kalian. Mungkin Idilfitri yang bakal menjelang ini akan kita sambut dengan gelak hilai tawa anak-anak, saudara-mara, handai taulan. Tetapi ingatlah, dalam kegembiraan dan kesenangan kita meraikan hari lebaran sambil diulit dendangan lagu raya, ada diantara kita yang meraikan hari lebaran dengan kesedihan dan kesyahduan. Kehidupan mereka yang daif, serta perginya insan yang tersayang, menjadikan hari lebaran merupakan hari yang hambar. Malah tak mustahil jika aku perkatakan, hari lebaran merupakan hari kesedihan dan tangisan buat mereka. Kerana di hari itulah kenangan bersama insan tersayang datang mengundang. Sang isteri terasa kekosongan dan anak-anak hilang tempat bermanja. 

Jadi, marilah kita bersama-sama membuktikan sifat ukhwah Islamiah yang sering kita canangkan dan perkatakan di email, posting, chat room dan conference. Buktikanlah rasa ukhwah Islamiah ini wujud dalam diri kita. Hulurkanlah bantuan dan sedekah jariah buat mereka, agar kedukaan mereka terubat sedikit dengan rasa kasih sayang ukhwah yang sahabat-sahabat semua tunjukkan.....


Ayuh rebut peluang yang masih ada......

WASSALAMM......

No comments:

Post a Comment

nasyid hiburanku