Ada orang kata sejarah dunia ditulis oleh darah manusia sebagai tintanya. Badan dan tulang kita sebagai penanya. Atas nama revolusi dan ideology, idea dan falsafah, jutaan nyawa manusia dijadikan korban. Apabila manusia melupakan tuhan sang pencipta dan mula menyembah dan memuja iblis, maka akal fikiran dan pertimbangan yang rasional tidak ada nilai ertinya lagi. Manusia adalah binatang jika tanpa akal dan agama, lebih sadis, manusia sama ada menjadi mesin bernyawa yang tidak mampu berfikir melainkan yang telah diprogram ataupun menjadi hamba kepada nafsu serakah yang buas dan liar tanpa kawalan. Dan manusia hari ini adalah kedua-duanya, mesin dan juga hamba nafsu.
Jika dahulu manusia meraba-raba dalam kegelapan dunia mencari sinar tuhan, kini manusia semakin menjauhinya malah cuba memadamkannya. Jika dahulu manusia mencari-cari dalam kesamaran akan ertinya keamanan dan kedamaian, kini manusialah yang memeranginya dan menghapuskannya. Jika dahulu manusia amat menghargai erti penciptaan, kesucian dan kelahiran tetapi sekarang manusialah yang memusnahkan dan menodainya.
Manusia lupa hidup ini adalah permainan yang leka dan sementara. Yang penuh dengan gurau senda dan tipu daya. Dan kerana ianya adalah permainanlah, siapa yang tidak mahukan kemenangan? Atas peraturan siapa yang kuat akan selamat siapa yang lemah akan musnah, jutaan manusia hilang jiwa dalam permainan maya ini. Ideology yang berdasarkan kehidupan haiwan menjadi peraturan hidup manusia.
Penderitaan dimana-mana. Kedamaian yang hilang.
Memerangi dan diperangi.
Membunuh dan dibunuh.
Menipu dan ditipu.
Rakus dan dayus.
Lemah.
Musnah.
Namun, selagi mana adanya segolongan manusia yang percaya kepada bahawa suatu hari nanti segala pembohongan dan tipu daya ini akan terbongkar juga akhirnya oleh para pejuang kebenaran, maka masih ada jugalah peluang bahawa suatu hari nanti akan tiba saatnya penderitaan ini akan hilang dan kebenaran akan muncul membawa bersama berita-berita gembira dan ganjaran yang mengasyikkan. Walau sebagaimanapun pihak tertentu cuba menidak dan memadamkan para pejuang kebenaran ini, kemenangan tetap berpihak kepada yang benar. Cuma masa sahaja yang menentukan bilakah ini semua akan berlaku.
Maka, demi masa. Berpesan-pesan sesama di antara kita dengan penuh kesabaran, biar selama manapun kita menunggu dan menanti. Berpesan-pesan jualah dengan penuh kebenaran biar betapa pahit pun ia terpaksa ditelan, biar betapa pedih dan sakitnya ia perlu dijaga dan dipertahankan.
Sejarah perlu ditulis semula.
Bukan dengan darah dan air mata.
Bukan dengan nyawa dan azab siksa.
Tetapi dengan kebenaran yang nyata!
Dengan janji yang tiba….
Dan membawa khabar gembira.
Ah! Mampukah kita? Sekadar menulis dan berkata memang enak untuk dibicara dan digebangkan. Sambil memasang harapan dan angan yang tidak kunjung tiba. Di zaman ini, di mana kebaikan tidak ada nilai ertinya di atas dunia, di mana kejahatan bermaharajalela, walau sesungguh manapun usaha untuk meyakinkan manusia bahawa janji Allah akan tiba satu hari nanti, berapa ramaikah diantara kita yang masih mampu bertahan untuk yakin dan percaya?
Yang ada Cuma segelintir. Berpaut kepada tunggul iman yang kian dihakis oleh gelora fashak dan mungkar.
Yang lain terus hanyut. Lemas di dalam lautan al-wahan yang mengasyikkan manusia yang lupa, leka dan tepedaya.
Aku cumalah seorang manusia yang hadir di dunia ini disaat tamadun manusia yang semakin menjauhi sinar tuhannya. Manusia yang kerdil dan hina, yang hanya meminjam segala-galanya dari tuhannya Rabbul Izzati. Aku dan kamu adalah sama. Begitu juga dengan dia yang sedang memerhatikan kita melalui mata satunya
Kita adalah makhluk. Hamba tuhan yang tunggal. Aku, kamu dan dia.
Manusia lupa itu. Kita semua terlupa. Aku, kamu dan dia terlupa!
Kita di satu jalan yang pada hakikatnya lurus ke hujung sana dimana terdapatnya sebuah pintu yang teramat besar. Namun di kiri kanan jalan itu ada lorong-lorong yang kelihatan seolah-olah cabang kepada jalan yang lurus itu. Benarkah? Apa penghujungnya? Berbalik kepada pintu itu. Kuncinya?
Aku, kamu dan dia ada kuncinya!
No comments:
Post a Comment