Sudah menjadi kelaziman apabila seseorang itu sudah dapat berfikir dengan baiknya bahawa dirinya mesti disayangi, ingin menyayangi dan mahu disentuh dengan sentuhan kasih sayang.
Seorang muslimin semestinya akan mencari pasangan hidup yang mampu melengkapi kekurangan hidupnya, mahu hatinya disentuh dengan kasih sayang seorang muslimah. Kerana seorang muslimin juga membesar dengan sentuhan seorang muslimah yang bernama ibu.
Ya, sentuhan. Hanya dengan sentuhan kita akan lebih merasa nikmat, akan lebih merasa kewujudannya, dan akan lebih merasa dialah kepunyaan kita. Perlu disentuh dan memegangnya dengan erat.
Sentuhan untuk merasa akan rasa kasih sayang, sentuhan apabila selesainya lafaz sakinah, ikatan yang halal.
Wanita solehah bayangan bidadari!
Women of Heaven
Apabila diceritakan akan Syurga, hati rasa bergetar, terus jatuh hati. Naluri berkata, terasa ingin membayangkan indahnya Syurga itu, akan tetapi bayangan itu semestinya salah.
Tatkala janji-Nya mula berbisik, suara mula memuji-Nya, apabila rasa rindu datang menyapa, hati terus terusik, Rasul-Nya menjadi pilihan sebagai pengubat rindu.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menciptakan mereka (bidadari-bidadari) dengan langsung dan Kami jadikan mereka gadis-gadis perawan. Penuh cinta lagi sebaya umurnya." [Al-Waqiah : 35-37]Ingin saya menjemput bidadari, sebagai pelengkap. Ingin saya menjemput bidadari agar dapat merasai nikmat Syurga kelak, agar dapat menemani di persinggahan dunia.
Ingin saya menjemput bidadari supaya perjuangan menuju akhirat ada kekuatan. Menjemput bidadari agar bidadari ini dapat bersama di Syurga sana. Moga dialah bidadari terhebat. Ameen ya Allah.
Sering diceritakan keindahan Syurga, bidadarinya begitu cantik, menarik dan mempersona. Jika mahukan Syurga, jadilah pencinta bidadari. Itu kesimpulan saya pada mulanya.
Namun tercatat sudah kata ulama, wanita Syurga itu cantik, tetapi wanita dunia yang dikurniakan Syurga itu lebih cantik daripada bidadari Syurga. Tercatat sudah bahawa wanita solehah akan dijadikan ketua bidadari.
Ya, wanita dunia itu lebih cantik daripada bidadari Syurga, wanita solehah pasti dikurniakan ganjaran Syurga.
Wanita solehah menjadi ketua bidadari semestinya ketua merupakan yang terbaik dalam kalangan yang lain.
Teruja bukan? Bagaimanakah pula dengan wanita-wanita di dunia kini? Ibu, kakak dan adik perempuan kita, saudara perempuan kita, mudah-mudahan kitalah pendorong mereka dalam menerangi laluan ke Syurga.
Wanita Solehah
"Wanita yang solehah tersenyum dalam kesusahan, mendapat kekuatan melalui doa, menenangkan hati melalui istighfar, dan mendidik diri melalui solat yang khusyu'. Susah itu tarbiyyah, sabar itu indah..."
Impian saya adalah wanita solehah. Menjemputnya agar menjadi bidadari. Bidadari bila tiba waktu akan saya temui. Ya Allah, izinkan aku menjemput bidadari untuk menuju-Mu mengisi hari.
Bidadari yang menyentuh hati, teguhkan nurani.
Bidadari yang menyapa jiwa, yang memberikan makna.
Bidadari yang menemani resah.
Bidadari yang menenangkan jiwa.
Bidadari jadilah sang setia.
Kerana cinta yang suci tidak akan pernah sepi dengan keindahan rasa cinta, bidadari yang memberi harapan saat jatuh agar bangun semula. Sekali rebah sejuta kali dirimu bangunkan, dan memberikan saki baki cintanya sebagai penawar di dunia. Menanti cinta yang kekal abadi hanya di Syurga.
Wanita solehah sebagai penentu bicara kerana wanita solehah lebih berharga dari segala-galanya. Wanita solehah semestinya bukan sembarangan insan yang mampu mencintainya. Bukan sebarangan insan dapat dicintainya.
Insan yang paling wajar untuk mencintai wanita solehah juga semestinya lelaki soleh. Soleh dan solehah satu gabungan yang baik. Semestinya tidak enak jika wanita solehah dikotori apabila disentuh dengan tangan-tangan lelaki yang ingkar.
Seperti mencari kemanisan Iman, amal ibadah yang sering dikerjakan siang dan malam tidak akan pernah merasa kemanisannya jika amalan yang baik dihadirkan juga dengan perkara mungkar.
Bagaikan minuman air oren yang dicampur dengan serbuk kopi, pasti kemanisan yang diimpikan dari khasiatnya oren tidak akan dapat. Cuma rasa campuran rasa yang tidak bernama. Rasa oren pun tidak, rasa kopi pun tidak. Islam itu sempurna, jangan pula dicampuri dengan perkara yang menjadikan kita rasakan tidak sempurna.
Wanita solehah dan lelaki yang soleh semestinya gandingan yang baik. Digandingkan di dunia dan bergandingan menuju akhirat. Manis dan indah bukan, begitulah tingginya hasrat di hati.
Rasailah keindahan bercinta yang sejati tanpa sangsi dan curiga kerana wanita soleh kelak di Syurga akan menjadi bidadari, bahkan lebih cantik dari bidadari.
Jadi moga terbina jalinan cinta hingga ke akhirat, bercinta hingga ke Syurga.
Daripada Ummu Salamah, isteri Nabi Muhammad S.A.W, katanya di dalam sebuah hadis yang panjang: Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Adakah wanita di dunia lebih baik atau bidadari?" Baginda menjawab, "Wanita di dunia lebih baik daripada bidadari sebagaimana yang zahir lebih baik daripada yang batin". Aku berkata, "Wahai Rasulullah! Bagaimanakah itu?"Baginda menjawab, "Dengan solat, puasa dan ibadat mereka kepada Allah, Allah akan memakaikan muka-muka mereka dengan cahaya dan jasad mereka dengan sutera yang berwarna putih, berpakaian hijau dan berperhiasan kuning... (hingga akhir hadis)" [Riwayat al-Tabrani]Lelaki Soleh
Qudwah hasanah, contoh ikatan yang terbaik, semestinya junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, Rasulullah merupakan tokoh sepanjang zaman yang telah berjaya menggilap rasa perhambaan umat manusia kepada Allah pada zaman jahiliyah dahulu.
Rasulullah S.A.W, ketokohannya perlu dicontohi oleh pemuda Islam sekarang, Rasulullah yang telah merubah hati-hati umat ketika zaman jahiliyah yang kegersangan tanpa cinta sejati. Apabila kuatnya rasa perhambaan kepada Allah, maka mudahlah hati dapat menerima janji-janji pasti dan perintah-perintah penuh hikmah dari Allah S.W.T.
Lelaki yang paling wajar dicintai oleh wanita solehah ialah Nabi Muhammad S.A.W. Rasulullah telah mengangkat martabat kaum wanita ketika itu, dari dipandang hina ke satu kedudukan yang sangat istimewa di sisi Islam. Ajaran yang dibawa Rasulullah telah berjaya menambat hati pemuda ketika itu, telah berjaya mengubah budi pekerti kaum lelaki.
Timbullah rasa tanggungjawab di hati pemuda Islam ketika itu, dari zaman penuh kegelapan berubah kepada zaman kegemilangan Islam yang bercahaya. Sedar akan kedudukan dan tanggungjawab masing-masing di sisi Islam. Bagaikan suluhan cahaya datang menerangi. Menyuluh setiap celahan kegelapan.
Ketika itu walaupun umat Islam dipukul resah, namun wahyu Allah diperdengarkan terus dari Rasulullah. Tiada keresahan tiada lagi amalan zaman jahiliyah yang pastinya ketika itu sangat menzalimi sesama sendiri.
Kaum wanita dikagumi jasanya, terus menerus kaum wanita menyambung untaian talian cinta berbanding diperlakukan dengan kehinaan pada zaman jahiliyah, khususnya oleh kaum lelaki.
Lelaki yang soleh tiada mengenal erti kegagalan dalam menuntut kemuliaan Allah di dunia dan akhirat, kerana lelaki soleh tidak dayus membiarkan saudara perempuannya keluar dari rumah tanpa perlindungan hukum Allah, tubuh badan kaum wanitanya diselimuti dengan helaian kain yang sudah disyariatkan.
Ini membawa keuntungan kepada kaum wanita kerana mereka mendapat kebebasan dalam kawalan dan perlindungan keselamatan oleh kaum lelaki. Iaitu dengan mengikuti ajaran Nabi Muhammad S.A.W menjadikan bapa atau suami mereka berbuat baik dan bertanggungjawab ke atas keluarganya. Demikian juga dengan kedatangan Rasulullah S.A.W telah menjadikan anak-anak tidak lupa untuk berbakti kepada kedua ibu bapa mereka.
Salah satu tanda kasih Baginda S.A.W terhadap kaum wanita ialah dengan berpesan kepada kaum lelaki agar berbuat baik kepada wanita, khususnya kepada ahli keluarga. Rasulullah S.A.W sendiri menjadikan diri dan keluarga Baginda suri teladan kepada kaum lelaki untuk bagaimana berbuat baik dan memuliakan kaum wanita.
Rasulullah S.A.W bersabda: "Orang mukmin yang paling sempurna Imannya ialah yang paling baik akhlaknya, dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya." [Riwayat Abu Daud dan Tirmizi]Lagi sabda Rasulullah S.A.W: "Sebaik-baik kamu adalah yang terbaik terhadap keluarganya, dan aku adalah yang terbaik dari kamu terhadap keluargaku. Orang yang memuliakan kaum wanita adalah orang yang mulia, dan orang yang menghina kaum wanita adalah orang yang tidak tahu budi." [Riwayat Abu 'Asakir]Teguhkan hati usahlah engkau ragu wahai lelaki soleh, berzikirlah sebanyak mana yang engkau mahu agar wanita solehah tetap akan menjadi suri. Telah diciptakan lelaki yang baik itu untuk perempuan yang baik dan juga sebaliknya, usahlah engkau ragu lagi.
Kau Bidadari Terhebat
Inilah bidadari Syurga.
Hidupnya dipenuhi dengan amalan rasa keimanan yang mampu memenuhi relung hati dengan cinta Ilahi. Kecantikannya tidak dibanggakan, keayuannya tidak pernah diserlahkan agar tidak mencedera jiwa kaum adam. Senyumannya adalah sedekah paling mudah, tiada rasa terhutang budi. Senyumannya tidak disalah guna.
Kecantikannya merupakan satu nikmat yang perlu dijaga, kecantikannya merupakan amanah yang berperanan agar dirinya bertambah malu, malu dari melakukan mungkar. Agar dirinya berserah sepenuhnya kepada Ilahi. Kecantikan sebenar adalah pada akhlaknya, ketulusan hatinya yang tersembunyi itu.
Wanita solehah, bagaikan permata, permata yang disimpan rapi. Apabila dilihat cantik dipandang dan menyejukkan hati dengan keindahan akhlaknya, apabila sudah diikatkan dengan ikatan yang halal. Maka makin menjadi keharuman akhlaknya itu, dan akan menjadi lebih cantik lagi selepas itu. Sesungguhnya, seperti permata yang dijadikan tatapan mata pada zahirnya. Itulah yang sebaiknya.
Al-KHAWARIZMI
Jika wanita solehah dan beragama = 1
Jika dia cantik; tambah 0 kepada 1 =10
Jika dia kaya; tambah lagi 0 = 100
Dan jika dia dari keluarga baik-baik, tambah lagi 0 = 1000
Tetapi jika yang "1" tiada, maka tiada apa yang tersisa pada wanita tersebut kecuali sekelompok "0".
Wanita solehah tidak pernah membisikkan rasa sayu, tidak pernah rasa keresahan jika tidak pernah didambakan oleh mana-mana lelaki. Tetapi hanya mendambakan cinta Ilahi yang diutamakan. Keindahan rupa paras yang mempersona tidak pernah terhakis dengan hasutan Syaitan. Keaiban diri sendiri tidak digayakan. Keindahan susuk tubuhnya ditutupi mengikut syariat, keindahan itu dijaga.
Wanita solehah itu tidak pernah menghiraukan akan balasan atas segala kebaikan yang diberikannya, tetapi keikhlasan di hati itu yang dijaga. Keikhlasan di hati yang tidak ada sesiapa yang dapat dijangka, kerana tiada siapa tahu apa ada di hati kecuali Ilahi. Erti hidupnya hanya pada memberi. Suka berada di bawah, kerana yang di bawah hanya perlu meminta, meminta pertolongan Ilahi.
Keikhlasan itu umpama seekor semut hitam di malam yang amat kelam. Ia wujud tetapi amat sukar dilihat. Hidup biarlah berbakti walaupun tidak dipuji.
Erti perhambaannya hanya pada merindu yang Esa. Rindunya dihulurkan kepada yang pasti membalas. Rindunya tidak diberikan pada yang lemah. Lukisan rindunya penuh bermakna, dilukis dengan amalan redha Ilahi. Mengalir mutiara suci di pipinya sambil mulut berzikir mengagungkan-Nya.
Wanita solehah yang gemersik suaranya, indah lantunan suaranya dikuatkan kepada anak-anak bangsa, dakwah itu kebebasannya. Suara emasnya hanya menyampaikan Islam. Suaranya untuk kebenaran dan berhujah menentang kebatilan. Kepahitan memperjuangkan kebenaran tetap diperjuangkan kerana sudah terselit rasa di hati akan kemanisan di puncak kebenaran.
Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga menghairahkan orang yang ada perasaan dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik-baik." [Surah Al-Ahzab: 32]Wanita solehah itu sejati, sejati dalam memperjuangkan maruahnya, malunya dijadikan perisai terhebat, dirinya tidak pernah jatuh dengan tawaran cinta yang sia-sia. Malunya akan disimpan rapi. Hanya akan ditunjukkan kepada insan yang halal baginya.
Malunya di dalam bekas yang cantik atas bayangan bidadari Syurga. Hanya sekali-sekala dibuka malunya untuk insan yang tertentu sahaja, dan bukannya untuk tatapan umum. Jika malunya selalu didedahkan, nescaya akan tercemar. Itu hanyalah kaca, yang akan pecah bila-bila masa sahaja, dan tidak akan terjamin keselamatannya.
Pecahnya kaca itu maka jatuhlah maruahnya, serpihan kaca akan mencalarkan sesiapa sahaja yang berdekatan.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud: "Apabila kau hilang malu lakukanlah segalanya."[Riwayat Abu Daud]Wanita solehah bukan dilihat dari kegelisahannya ditawarkan cinta sia-sia di tepi jalanan tetapi dilihat dari kegelisahannya jika mengundang insan lain tergoda.
Wanita solehah itu bukannya dipandang pada besarnya ujian dan sengsara yang ditempuh, tetapi wanita solehah itu dilihat pada bagaimana menggunakan setiap ibrah dari segala ujian agar dikuatkan lagi Imannya dalam menempuhi ujian tersebut.
Tidak pernah meminta dikecilkan ujian, tetapi sentiasa memohon agar dikuatkan Iman supaya dapat menempuhi ujian yang mendatang. Wanita solehah itu tidak berbangga dari sifat mesranya dalam pergaulan, tetapi indahnya dilihat dari sejauh mana kemampuan menjaga kehormatannya dalam pergaulan.
"Apabila seorang perempuan itu solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam Syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya." [Riwayat Al-Bazzar]
Cinta Sampai Syurga
Bila masanya tiba nanti semua akan bertemu dengan yang Maha Esa. Adakah ia menjadi penamat segalanya? Tidak sama sekali kerana kita mempunyai dua pilihan iaitu Syurga atau Neraka. Hanya dua pilihan tidak lebih. Pasti semua mahukan nikmat Syurga.
Tiada pilihan ketiga, namun dua pilihan inilah yang selalunya disalah pilih. Antara ingkar dan patuh dan antara benar dan salah, antara madu atau racun.
Di setiap nafas kadang kita terlupa bahawa kita ini milik Allah, terlupa dan terleka dengan nikmat dunia yang fana ini. Masih tidak sedar akan adanya kehidupan akhirat yang kekal abadi kelak.
Musafir di bumi cinta yang sedang luka ini, penuh penipuan dan tipu daya. Apabila di persimpangan jalan hidup kadang tidak tahu untuk memilih persimpangan mana yang membawa ke Syurga, pada-MU jua kami bersujud dan berserah.
Ya, cinta sampai Syurga, cinta di puncak-puncak ketinggian, tidak ada sesiapa pun yang mahukan cintanya hanya sebentar. Pasti mahukan yang berkekalan bersama yang tercinta. Jika pasangannya sudah lebih awal bertemu yang Maha Esa, mohonlah dan berusaha agar dipertemukan di Syurga kelak.
Ya, kerana wanita yang solehah itu lebih cantik dari bidadari Syurga dan wanita dunia yang solehah itu akan dijadikan ketua bidadari, siapakah yang akan menjadi ketua bidadari? Jawapannya wanita dunia sekarang ini, siapa? Ibu, saudara perempuan kita dan pastinya mahukan isteri, isteri yang tercinta. Mahukan cinta yang berkekalan sampai Syurga, di sana cintanya berkekalan.
Kekal abadi itu kehidupan yang dijanjikan Allah. Itu janji yang pasti. Ya, mari bergandingan ke Syurga. Binalah syurga rumahtangga dahulu di dunia agar dapat merasai nikmat Syurga bersama. Institusi kekeluargaan yang berjaya pasti akan menghasilkan kedamaian dunia yang sempurna dengan berlandaskan syariat Islam.
Peluang Beramal
"
Setiap nafas yang baru kita sedut adalah peluang untuk kita meraih janji-janji Allah S.W.T, walaupun hanya beberapa saat." (Azmi Bin Bahari)Mahu berkekalan cinta dunia hingga ke Syurga, itu matlamatnya. Mana ada cinta jika tiada rindu, mana ada kasih jika tiada sayang, untuk apa cinta jika tidak sudi, untuk apa kasih jika tak memberi.
Mana ada cinta jika tiada janji ke Syurga, mana ada kasih sayang jika tiada kehidupan yang diredhai. Untuk apa cinta jika tidak ke Syurga, untuk apa kasih jika mengamalkan cinta terlarang bila rahmat Allah tebar melayang.
Moga cintanya sampai Syurga. Kata putusnya bercintalah sampai ke Syurga, di sana abadi. Tiada manusia yang melemparkan insan yang disayanginya ke lubang Neraka.
Cintalah yang sebenarnya, binalah Baitul Muslim yang sebenarnya, mahu bina masjid, tapi jangan membina masjid dengan binaan batu bata curi. Adakah masjid itu akan terbina bersama rahmat Allah?
Pencinta Bidadari
Bidadari.. ya, buruk dan baik itu ketentuan Allah, kitalah jua yang memilihnya. Amalan yang baik membawa ke Syurga, amalan buruk semestinya menempah Neraka. Hanyalah Iman, amal dan juga takwa menjadi bekal di dalam hidup kita.
Ibnul Qayyim R.A berkata: "Jika ia memasuki istananya – yakni wanita penghuni Syurga dari penduduk dunia – segala sesuatu di Syurga menjadi terang, dan jika ia berbicara dengan suaminya, suaminya akan terbuai hingga lupa pada Syurga, dan terpaut dengan isterinya."
Ayuh, raikan rasa cinta penuh kebahagiaan di Syurga! Bayangan kata-kata nikmat Syurga idaman telah digambarkan, agar kita membisikkan kerinduan, timbulnya keinsafan dan rasa pengharapan pada Syurga-Nya. Mari buktikan kecintaan kepada-Nya.