“Abah selalu tak ada di rumah. Kalau abah betul sayangkan kita, kenapa abah jarang ada di rumah?”, Amin mencebikkan muka kepada ibunya.
“Tapi Amin, abah tetap abah kita. Walaupun dia selalu tiada di rumah, dia menyayangi kita dari jauh. Dia tidak pernah lupakan kita. Amin tak bolehlah buat macam itu.”, Salina cuba memujuk anaknya.
Sayang dari jauh? Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan sayang dari jauh itu? Mampukah Amin memahami maksud pujukan ibunya, bahawa ayah yang selalu tiada di depan mata itu, menyayangi keluarganya dari jauh? Amin tidak berpuas hati.
“Sudahlah tiada di rumah, lepas tu bila balik, asyik garang-garang sahaja. Ini tak boleh itu tak boleh”, Amin terus memberontak serta meluahkan isi hatinya yang terbuku selama ini. Suasana rumah yang dipenuhi dengan ‘boleh’ dan ‘tidak boleh’, cukup merimaskan.
“Rumah ini kan rumah abah. Abah berhak untuk menentukan peraturannya. Bila Abah kata yang Amin tidak boleh tengok televisyen selepas pukul 9 malam, Amin kenalah patuh. Ini rumah abah dan Amin kena ikut peraturan abah.”, Salina masih tidak berputus asa dan terus cuba memahamkan anaknya kenapa dia mesti patuh kepada ‘boleh’ dan ‘tidak boleh’ yang diputuskan oleh suaminya, seorang ahli perniagaan yang tinggal di seberang laut.
Salina tahu, suaminya perlu bertegas dan memberikan banyak peraturan untuk dipatuhi oleh Amin malah dirinya sendiri. Hanya dengan peraturan ini, rumah tangganya yang ditinggalkan di tanah air, terpelihara dan selamat.
“Ye lah, ye lah. Amin patuh, Amin taat. Nanti kalau lawan, kata anak durhaka pula!”, Amin terus masuk ke bilik dan menghempaskan pintu.
Sukar sekali untuk Amin menerima peraturan rumahnya. Walaupun dia sedar yang ayahnya meletakkan syarat-syarat dan peraturan itu untuk kebaikan dirinya, namun ia dipatuhi dengan hati yang berat. Puncanya mudah sahaja. Amin dipaksa mengikut peraturan seseorang yang mendakwa menyayanginya, tetapi dia sendiri tidak pernah ada sebarang bukti bahawa ayahnya memang menyayanginya. Tanpa kasih sayang, mematuhi peraturan dan kehendak seseorang, amatlah berat dan membebankan.
DENGAN CINTA, MANUSIA SUKA DIARAH
Berbeza pula dengan seorang lelaki yang sedang mabuk bercinta.
“Alahai bang. Saya tak sukalah abang pakai baju merah ini. Abang kan tahu yang saya tak suka warna merah macam ini?”, kata seorang perempuan kepada kekasihnya.
“Oklah sayang, abang bakar baju ini!”, jawab lelaki itu.
Ya, bukan sahaja baju itu diketepikan, malah sanggup pula sampai membakarnya. Mengapa keadaannya begitu? Mudah sahaja, kerana adanya cinta, hati sentiasa suka disuruh. Suka diperhambakan. Malah lautan api pun sanggup direnangi. Mungkin kerana itu ramai yang sanggup merenangi kemurkaan Allah berupa api neraka, kerana cinta yang buta lagi membutakan. Ya, berilah kasih dan cinta, nescaya apa sahaja kehendak dan kemahuan, akan menjadi perjuangan kekasihnya. Itulah kuasa cinta.
Hal ini tidak berlaku di dalam rumah tangga hari ini. Kita sudah terperangkap di dalam suatu kehidupan yang meragut kita daripada duduk di rumah dengan pasangan dan anak masing-masing. Kita banyak duduk di luar, kita bekerja sampai petang, kadangkala sampai malam. Cari rezeki bawa pulang, buat orang yang tersayang. Itulah kata Ramli Sarip dalam ‘Nyanyian Serambi’nya. Akibat itu, banyak perkara yang selama ini sangat sinonim dengan ibu dan bapa, terpaksa dipindahkan kepada pihak ketiga. Selalunya, anak-anak ada masakan ibu yang menjadi favourite mereka. Tetapi anak-anak membesar dengan makanan yang dimasak oleh pembantu rumah. Hujung minggu, makan di luar pula.
Bermain-main dengan ayah di waktu petang, memimpin tangan anak-anak memanjat papan gelungsur, adalah imaginasi kita terhadap sebuah keluarga yang ‘normal’. Tetapi hari ini, tangan itu bukan lagi tangan bapa. Ia tangan pembantu rumah, cikgu TASKA, atau bagi yang sudah sedikit remaja, tangan rakan-rakan sebaya.
Imej ayah dan ibu hari ini, adalah dua manusia yang sering tiba di rumah kepenatan, mudah marah dan hanya mampu bertanya khabar dengan acuh dan tidak acuh sahaja perihal anak-anak mereka. Corak kehidupan seperti ini sudah menjadi kebiasaan. Namun kebiasaan ini sedang memberanakkan satu generasi yang songsang. Generasi itu adalah generasi yang KESUNYIAN.
GENERASI YANG KESUNYIAN
Kesunyian anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang ibu bapa, tidak sama dengan kekecewaan anak tidak mendapat patung robot idamannya. Robot yang diidamkan itu, mudah dilupakan selepas beberapa ketika. Namun kehilangan kasih dan sayang adalah seperti dahaga yang tidak bertemu minum, lapar yang tidak bertemu makan. Fitrah mereka kosong, seperti tanah subur yang terbiar.
Tanah subur itu berpotensi untuk menumbuhkan hasil yang pelbagai. Buah-buah yang ranum, hasil tumbuhnya pokok di tanah yang subur itu, amat manis rasanya, malah memandangnya sahaja pun sudah menjadi penyejuk mata. Qurratul A’yun, kata doa kita. Tetapi jiwa anak yang bersedia untuk mengasihi ibu bapa sebagai wasilah untuk mengasihi dan mentaati Allah itu, mesti dibajak, ditabur dengan benih iman, dan dijaga dengan kecukupan segala keperluannya. Barulah hasilnya jadi seperti yang sepatutnya. Tanpa itu semua, tanah yang subur akan menumbuhkan lalang dan rumput yang penuh duri.
Jiwa generasi hari ini, adalah jiwa tanah subur yang terbiar. Akhirnya keupayaan anak-anak untuk mengasihi, berpindah kepada mencari kekasih yang bukan kekasih. Pencarian itu menemukan kasih yang membinasa berupa dadah, dan segala gejala sosial yang tiada noktahnya. Walaupun dadah, arak dan seks itu merunsingkan kita, ia bukanlah masalah sebenar. Ia adalah bahasa generasi itu yang mahu memperkatakan sesuatu. Mereka mahu memberitahu kita, bahawa mereka dilahirkan sebagai kekasih. Tetapi kekasih itu tidak dikasihi, kasihnya tidak dibalas. Kerana itu, mereka perlu mencari kekasih lain. Dan kekasih yang ditemui itu adalah kebinasaan yang tiada jalan berpatah pulang.
Ya, ibu bapa harus sedar. Mengajar ABC atau Alif Ba dan Ta, mungkin boleh di’swasta’kan kepada guru. Soal membasuh kain dan memandikan anak-anak, mungkin boleh diberikan kepada orang lain. Tetapi soal kasih dan sayang, perhatian dan belaian, dari ibu malah bapa, tiada pengganti. Tidak mungkin boleh diganti. Manusia yang paling penyayang, tidak dapat memberikan kasih seorang ibu atau bapa kepada budak yang bukan anaknya. Dan jika kasih sayang itu tidak diberi, maka anak-anak menjadi seperti insan yang terdampar di padang pasir. Gersang, dahaga dan derita, yang fitrahnya menagih hanya satu, air!
Jika dahaga menagih air, lapar menuntut makan, maka kedahagaan anak-anak terhadap kasih dan sayang ibu bapa, hanya boleh diubat dengan kasih dan sayang ibu bapa. Itu fitrahnya, itu peraturannya. Jika dahaga diberi bantal, mengantuk dihulur makan, ia tiada makna, dan silap-silap berbalas marah. Anak mahukan kasih sayang, benak benar jika ibu dan bapa menghulurkan material lain, walau semahal mana pun ia, sebagai ganti kepada kasih sayangnya.
KASIH IBU BAPA, WASILAH MENGASIHI PENCIPTA IBU BAPA
SETERUSNYA, mampukah tanpa kasih sayang ini, anak-anak diharap dapat mematuhi peraturan? Jawablah dengan penuh yakin, bahawa TIDAK. Inilah rahsia mengapa Allah melantik ibu dan bapa sebagai guru pertama kepada setiap bayi yang lahir ke dunia. Oleh kerana ibu dan bapa adalah manusia yang paling kaya dengan cinta dan kasih kepada anak-anak mereka (rujuk artikel Cinta Tanpa Syarat), maka merekalah yang secara fitrahnya boleh menurunkan peraturan Aqidah, Syariat dan Akhlak kepada anak-anak.
Anak-anak berupaya untuk menurut peraturan rumah masing-masing, jika rumah itu kaya dengan kasih dan sayang ibu bapa. Dari situ jugalah, ibu bapa boleh mendidik anak-anak untuk menurut peraturan Allah, kerana didikan itu datang daripada dua insan yang paling menyayangi anak-anak tersebut. Dengan kasih sayang seorang ibu dan bapa, anak itu boleh diYahudikan, boleh diNasranikan, boleh diMajusikan malah boleh menjadi Mulhid. Kasih sayang ibu dan bapa boleh mengajak anak-anaknya beragama seperti mereka, dengan umpan berupa kasih dan sayang mereka kepada anak-anak. Malah bukan hanya semasa kecil. Ketika si anak beransur dewasa dan terbaring menghadapi Sakaratul Maut, ‘kasih ibu’ jualah yang menjadi umpan syaitan untuk mengajaknya mati dalam kekufuran. Naudhubillah. Itulah kuasa cinta dan kasih ibu, serta bapa.
Janganlah terkejut andai anak-anak begitu keras kepala untuk bersetuju dengan do’s and don’ts ibu bapa, jika antara mereka tiada kasih sayang. Pada anak, tidak perlu sampai didera atau diseksa. Cukup sekadar ibu dan bapa sibuk dengan diri masing-masing, ia sudah cukup untuk mereka tafsirkan sebagai BENCI.
“Ibu dan bapa yang hanya tahu membawa anak-anak mereka lahir ke dunia, adalah ibu bapa yang memBENCI kami!”
Buat tak reti adalah salah satu cara mempamerkan KEBENCIAN ibu bapa kepada anak-anak. Anak-anak ini menderita.Inilah kumpulan remaja yang ramai saya temui di pelbagai siri kursus. Mereka adalah generasi yang hairan, ibu dan bapa mereka sibuk bekerja untuk apa. Anak-anak ini kesunyian, dan mereka hilang upaya untuk memberikan tindak balas kepada peraturan hidup, kerana mata kailnya tidak berumpan. Umpan yang dimaksudkan itu adalah perhatian serta kasih dan sayang ibu bapa. Kasih sayang ibu bapa adalah kurniaan Allah kepada sebuah keluarga untuk mereka semua mengasihi dan menyayangi Dia, Pemberi kasih dan sayang itu.
Ibu bapa sering kehairanan, mengapa anak mereka degil dan enggan patuh. Makin bertambah umur, makan berani anak-anak ini mengabaikan do’s and don’ts ibu bapa mereka.
Ibu bapa ini terlupa, bahawa KEPATUHAN adalah buah KASIH SAYANG.. Berilah cinta, berilah kasih, nescaya patuhlah mereka yang sedang menikmati cinta dan kasih itu.
KASIHI RASULULLAH, TAPAK MEMATUHI SUNNAH DAN MENJAUHI BID’AH
Malah dalam konteks yang lebih luas, masyarakat tidak mungkin boleh menerima pendekatan hukum HALAL dan HARAM, jika ia tidak berlandaskan kasih dan sayang. Sayangkah masyarakat kita kepada Allah untuk mereka peduli tentang HALAL dan HARAM? Sayangkah masyarakat kita kepada Rasulullah, untuk mereka prihatin tentang SUNNAH dan BID’AH?
Tanpa kasih dan sayang, soal Halal dan Haram serta Sunnah dan Bid’ah adalah beban yang merimaskan. Sunnatullah telah pun menetapkan kepada kita bahawa KEPATUHAN adalah buah KASIH SAYANG.
Kamu adalah sentiasa bersama dengan siapa yang kamu sayang!
Inilah yang mesti menjadi renungan para ustaz, pendakwah dan muallim yang berada di tengah-tengah masyarakat. Selama ini, persoalan tentang apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat, semakin hari semakin sukar untuk dihayati oleh masyarakat. Pernahkah kita fikirkan tentang puncanya?
Sebagaimana anak susah hendak patuh perintah ayah yang tidak kelihatan kasih dan sayangnya, maka begitu jugalah dengan masyarakat kita hari ini. Mustahil untuk mereka mampu menghayati persoalan Sunnah dan Bid’ah, Dosa dan Pahala, Halal dan Haram, jika tiada kasih dan sayang kepada Allah dan Rasul di situ. Jika ada yang patuh sekali pun, kepatuhan itu berupa paksa rela dan membarah di dalam hati.
“Ya, dah Nabi cakap macam tu, berani aku nak lawan? Ikut ajelah”, ini suara-suara hati yang sedang memaksa diri untuk mematuhi Islam, tanpa kasih dan sayang. Dalam apa jua keadaan sekali pun, manusia memang dijadikan Allah fitrahnya inside-outside. Segalanya adalah dari dalam ke luar. Maka kepatuhan seseorang kepada Syariat Allah mestilah sesuatu yang datang dari dalam ke luar.
Ia tidaklah sama sekali bermaksud, peraturan dan undang-undang itu tidak perlu. Namun, jika kita bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, maka lihat sahajalah kesannya. Bukan sahaja golongan dewasa, malah ramai pelajar sekolah agama yang ‘pencen awal’ daripada menjadi orang agama, sebaik sahaja meninggalkan bangku persekolahan. Isunya terlalu subjektif, tetapi tidak rugi untuk sistem Tarbiyah di sekolah-sekolah dinilai dari semasa ke semasa. Jika selama ini, kepatuhan murid hanya dicapai melalui pemaksaan tanpa ada redha serta kasih dan sayang dari dalam diri murid itu sendiri, maka sesungguhnya 5 tahun di sekolah agama, hanyalah sebuah kegagalan yang diwarisi secara berulang-ulang. Pendakwah, ustaz dan muallim mesti mencari jalan, bagaimanakah caranya untuk mereka memindahkan kasih sayang Allah dan Rasul kepada mad’u. Apakah caranya untuk masyarakat boleh merasakan bahawa dirinya disayangi oleh Allah dan Rasul?
KASIHKAN NABI HARGA ILMU DIRAYAH HADITH NABI
Persoalan ini adalah persoalan yang besar. Janganlah sekali-kali kita disibukkan dengan proses mengenalpasti kesahihan Hadith semata-mata, tetapi tidak pernah peduli tentang cara melaksanakan isi kandungan Hadith yang telah dibuktikan sahih itu. Jangan terpedaya dengan belitan Iblis, yang menipu Ahli Hadith agar hidupnya hanya sibuk dengan status hadith, tetapi alpa terhadap isi kandungan Hadith itu sendiri. Maka persoalan ini adalah sebahagian daripada alat yang diperlukan oleh gerakan membangunkan Sunnah!
Pendakwah perlu tahu, bahawa kasih dan sayang bukan hujah dan debat. Ia bukan perkataan tetapi perbuatan. Ia bukan bahasa lisan, tetapi bahasa badan. Kasih dan sayang adalah sesuatu yang dikecapi melalui lisan hal kita kepada insan yang disayangi. Tentunya belaian tangan ibu yang mengusap rambut anaknya, lebih berharga daripada sekadar ucapan, “Ummi sayangkan Amin”, apatah lagi jika pengucapannya dibuat melalui SMS.
Kita boleh mencari pelbagai nas untuk menerangkan tentang erti kasih dan sayang. Namun ia seperti manis gula yang hanya boleh difahami kemanisan itu oleh manusia yang menjamahnya.
Tidak mungkin lagi bagi manusia hari ini, dapat mengecapi sentuhan kasih dan sayang secara fizikal oleh Nabi Muhammad SAW. Jika dulu, sahabat mendengar, melihat dan merasa kasih sayang Baginda, namun kita tiada peluang itu.
Senyuman Nabi SAW yang indah itu, kita hanya membacanya di dalam teks al-Sunnah. Bersahajanya Baginda SAW bergurau dengan isteri dan rakan, dewasa dan kanak-kanak, hanya dapat kita temui pada lembaran-lembaran buku yang kaku. Pastinya kemahuan untuk dikasihi oleh Rasulullah SAW itu terlalu sukar untuk dibayangkan atau difahami oleh masyarakat hari ini. Maka, bagaimanakah mereka boleh mengasihi Rasulullah, sebagai kunci kepada kemahuan untuk mentaati ajarannya?
Ulama’ Itu Adalah Pewaris Para Nabi
Ya, itulah jawapannya. Para Ulama’ adalah pewaris Nabi. Merekalah yang menyambung perjuangan dan risalah para Nabi. Oleh itu, warisilah ajaran para Nabi itu dengan sebaiknya. Janganlah yang diwarisi itu hanya riwayat-riwayat yang dihafal pada lidah dan bibir.
Bagaimana dengan keindahan budi dan akhlak Nabi SAW? Bagaimana dengan kesegaran senyuman Baginda SAW? Bagaimana dengan sikap sabar dan toleransi Baginda SAW terhadap kawan dan lawan? Bagaimana dengan watak Nabi SAW yang begitu cool membiarkan cucunya memanjat tubuh tatkala Baginda SAW sujud? Tidakkah semua keindahan itu adalah sebahagian daripada apa yang diwariskan oleh Baginda SAW kepada kita?
Maka, sebelum bercakap tentang PERATURAN HALAL dan HARAM, SUNNAH dan BID’AH, pamerkanlah terlebih dahulu rasa prihatin, upaya memahami sebelum difahami, serta kasih dan sayangmu kepada manusia. Jika mahu menyampaikan mesej kasih sayang Nabi SAW, just be the message!
Ketika lisanmu tekun menyebut tentang ketinggian Sunnah, biarlah pada masa yang sama tubuh badan serta wajahmu menjadi cermin akhlak dan kasih sayang pemilik Sunnah. Jadikan dirimu sebagai jendela, untuk masyarakat menjenguk kepala mencari kasih dan sayang Nabi SAW. Senyumlah sedikit wahai pendakwah, maniskan wajah dan elokkan budi pekerti. Janganlah asyik diselubungi marah kerana ia cermin BENCI penghalang HIDAYAH.
No comments:
Post a Comment