Wednesday, 4 April 2012

SEKADAR RENUNGAN :)

POTRET KEHIDUPAN " A PICTURE SPEAKS MORE THAN A THOUSAND WORDS"

Pepatah Inggeris di atas amat masyhur dan sering diungkapkan untuk menjelaskan kuasa dan impak gambar,foto, lukisan atau potret dalam memberikan gambaran tentang sesuatu perkara. Jika kita diminta menceritakan pengalaman atau keadaan yang pernah kita lalui, amat sukar untuk diungkapkan dalam perkataan. kadangkala mungkin memerlukan sebuah buku atau novel untuk menceritakan sesuatu episod dalam kisah kehidupan.
Jika kita pernah membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, kita dapat menatap betapa detilnya penceritaan beliau mengenai suasana sawah bendang dan perih getir kehidupan petani di Bonggol Derdap.
Betapa indah pun susunan kata, pasti tidak sama dengan gambaran sebenar. Sebaik mana pun tulisan kita, tidak dapat menggantikan potret yang ingin diceritakan. Inilah keterbatasan kata-kata dalam menggambarkan potret atau lukisan atau foto pastinya dapat mengungkapkan lebih baik daripada seribu perkataan.

LIHAT DENGAN MATA HATI

Inilah hikmah Allah S.W.T menyeru kita untuk melihat dengan mata penciptaan alam dan makhluk sekeliling kita. Dengan merenung keindahan alam ini, pasti berdetik di hati akan kehebatan rahsia penciptaan Allah S.W.T betapa hebat dan agungnya Allah S.W.T dan betapa kerdilnya kita dibandingkan dengan segala sistem cakerawala dan alam semesta yang sedang beredar dengan utuhnya.
Benarlah firman Allah S.W.T dalam surah Al-Imran ayat 190 yang menegaskan bahawa penciptaan langit dan bumi dan pengiliran malam dan siang adalah ayat kepada ulul albab. Indahnya kalimah yang digunakan iaitu ayat. Ayat bererti tanda atau petunjuk. ayat juga boleh membawa makna atau maksud yang boleh difahami. Allah S.W.T ingin kita merenung alam ini, untuk memahami makna dan hakikat penciptaannya. Alam ini ibarat potret yang membawa kita mengenali dan hampir dengan pencipta-Nya. Alam adalah potret yang membawa seribu makna dan rangkuman jutaan ayat-ayat Allah S.W.T
Jika kehidupan ini diibaratkan sekeping kanvas lukisan yang akan dicorakkan potret di atasnya, apakah rupa lukisan yang akan dilukiskan itu?
Benarlah sabda junjungan mulia rasulullah S.A.w dalam hadis baginda yang masyhur mafhumnya: " Setiap anak Adam dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua-dua ibu bapalah yang mencorakkan sama ada dia menjadi Majusi, Nasrani atau Yahudi" ( Riwayat Al-Baihaqi )
Begitu dalam maksudnya ungkapan ini. Betapa anak itu ibarat kain putih yang terhampar, seperti kanvas yang akan di lakarkan potret di atasnya. apakah corak yang ingin kita lakarkan? Apakah insan yang berwajah Yahudi atau Nasrani? atau kita ingin melahirkan jiwa yang fitrah, putih bersih tanpa kotoran?
Junjungan Nabi S.A.W juga bersabda, menggambarkan hati kita ibarat hamparan putih. setiap kali kita melakukan dosa, maka akan tercatitlah satu titik hitam di atas kain tersebut. Semakin banyak dosa dan kesalahan kita, maka bertambahlahtompokan hitam itu, hingga lama-kelamaan hati akan penuh tompokan sehingga gelap kehitaman kerana noda dosa. Jika kertas lukisan telah kotor kehitaman, tiada lagi lukisan indah buat potret kehidupan kita.Oleh sebab itu, jagalah hati kita agar tidak dikotori dan tercemar dek kerana dosa 
Mencetak kehidupan bermula dengan mencetak hati. melakar lukisan hidup adalah mengikut garis lakaran hati. Jika hati cantik , akan berserilah wajah kehidupan kita, begitulah sebaliknya.Didiklah hati dengan cahaya rabbani dan nabawi. Didiklah diri kita dengan adab dan pekerti Nabi. Ajarlah diri kita menjadi hamba Tuhan yang Maha Latif. Corakkanlah kehidupan kita dengan panduan Al-Quran dan Sunnah. Coretkanlah kitab amalan kita dengan catatan amal soleh. Semoga kita bertemu dengan husn al-khatimah. InshaAllah:)


Wednesday, 25 January 2012

Mencari Kekasih: Tanpa Kasih Sayang Peraturan Jadi Beban ....


“Abah selalu tak ada di rumah. Kalau abah betul sayangkan kita, kenapa abah jarang ada di rumah?”, Amin mencebikkan muka kepada ibunya.
“Tapi Amin, abah tetap abah kita. Walaupun dia selalu tiada di rumah, dia menyayangi kita dari jauh. Dia tidak pernah lupakan kita. Amin tak bolehlah buat macam itu.”, Salina cuba memujuk anaknya.
Sayang dari jauh? Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan sayang dari jauh itu? Mampukah Amin memahami maksud pujukan ibunya, bahawa ayah yang selalu tiada di depan mata itu, menyayangi keluarganya dari jauh? Amin tidak berpuas hati.
“Sudahlah tiada di rumah, lepas tu bila balik, asyik garang-garang sahaja. Ini tak boleh itu tak boleh”, Amin terus memberontak serta meluahkan isi hatinya yang terbuku selama ini. Suasana rumah yang dipenuhi dengan ‘boleh’ dan ‘tidak boleh’, cukup merimaskan.
“Rumah ini kan rumah abah. Abah berhak untuk menentukan peraturannya. Bila Abah kata yang Amin tidak boleh tengok televisyen selepas pukul 9 malam, Amin kenalah patuh. Ini rumah abah dan Amin kena ikut peraturan abah.”, Salina masih tidak berputus asa dan terus cuba memahamkan anaknya kenapa dia mesti patuh kepada ‘boleh’ dan ‘tidak boleh’ yang diputuskan oleh suaminya, seorang ahli perniagaan yang tinggal di seberang laut.
Salina tahu, suaminya perlu bertegas dan memberikan banyak peraturan untuk dipatuhi oleh Amin malah dirinya sendiri. Hanya dengan peraturan ini, rumah tangganya yang ditinggalkan di tanah air, terpelihara dan selamat.
“Ye lah, ye lah. Amin patuh, Amin taat. Nanti kalau lawan, kata anak durhaka pula!”, Amin terus masuk ke bilik dan menghempaskan pintu.
Sukar sekali untuk Amin menerima peraturan rumahnya. Walaupun dia sedar yang ayahnya meletakkan syarat-syarat dan peraturan itu untuk kebaikan dirinya, namun ia dipatuhi dengan hati yang berat. Puncanya mudah sahaja. Amin dipaksa mengikut peraturan seseorang yang mendakwa menyayanginya, tetapi dia sendiri tidak pernah ada sebarang bukti bahawa ayahnya memang menyayanginya. Tanpa kasih sayang, mematuhi peraturan dan kehendak seseorang, amatlah berat dan membebankan.



DENGAN CINTA, MANUSIA SUKA DIARAH

Berbeza pula dengan seorang lelaki yang sedang mabuk bercinta.
“Alahai bang. Saya tak sukalah abang pakai baju merah ini. Abang kan tahu yang saya tak suka warna merah macam ini?”, kata seorang perempuan kepada kekasihnya.
“Oklah sayang, abang bakar baju ini!”, jawab lelaki itu.

Ya, bukan sahaja baju itu diketepikan, malah sanggup pula sampai membakarnya. Mengapa keadaannya begitu? Mudah sahaja, kerana adanya cinta, hati sentiasa suka disuruh. Suka diperhambakan. Malah lautan api pun sanggup direnangi. Mungkin kerana itu ramai yang sanggup merenangi kemurkaan Allah berupa api neraka, kerana cinta yang buta lagi membutakan. Ya, berilah kasih dan cinta, nescaya apa sahaja kehendak dan kemahuan, akan menjadi perjuangan kekasihnya. Itulah kuasa cinta.

Hal ini tidak berlaku di dalam rumah tangga hari ini. Kita sudah terperangkap di dalam suatu kehidupan yang meragut kita daripada duduk di rumah dengan pasangan dan anak masing-masing. Kita banyak duduk di luar, kita bekerja sampai petang, kadangkala sampai malam. Cari rezeki bawa pulang, buat orang yang tersayang. Itulah kata Ramli Sarip dalam ‘Nyanyian Serambi’nya. Akibat itu, banyak perkara yang selama ini sangat sinonim dengan ibu dan bapa, terpaksa dipindahkan kepada pihak ketiga. Selalunya, anak-anak ada masakan ibu yang menjadi favourite mereka. Tetapi anak-anak membesar dengan makanan yang dimasak oleh pembantu rumah. Hujung minggu, makan di luar pula.

Bermain-main dengan ayah di waktu petang, memimpin tangan anak-anak memanjat papan gelungsur, adalah imaginasi kita terhadap sebuah keluarga yang ‘normal’. Tetapi hari ini, tangan itu bukan lagi tangan bapa. Ia tangan pembantu rumah, cikgu TASKA, atau bagi yang sudah sedikit remaja, tangan rakan-rakan sebaya.
Imej ayah dan ibu hari ini, adalah dua manusia yang sering tiba di rumah kepenatan, mudah marah dan hanya mampu bertanya khabar dengan acuh dan tidak acuh sahaja perihal anak-anak mereka. Corak kehidupan seperti ini sudah menjadi kebiasaan. Namun kebiasaan ini sedang memberanakkan satu generasi yang songsang. Generasi itu adalah generasi yang KESUNYIAN.

GENERASI YANG KESUNYIAN

Kesunyian anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang ibu bapa, tidak sama dengan kekecewaan anak tidak mendapat patung robot idamannya. Robot yang diidamkan itu, mudah dilupakan selepas beberapa ketika. Namun kehilangan kasih dan sayang adalah seperti dahaga yang tidak bertemu minum, lapar yang tidak bertemu makan. Fitrah mereka kosong, seperti tanah subur yang terbiar.

Tanah subur itu berpotensi untuk menumbuhkan hasil yang pelbagai. Buah-buah yang ranum, hasil tumbuhnya pokok di tanah yang subur itu, amat manis rasanya, malah memandangnya sahaja pun sudah menjadi penyejuk mata. Qurratul A’yun, kata doa kita. Tetapi jiwa anak yang bersedia untuk mengasihi ibu bapa sebagai wasilah untuk mengasihi dan mentaati Allah itu, mesti dibajak, ditabur dengan benih iman, dan dijaga dengan kecukupan segala keperluannya. Barulah hasilnya jadi seperti yang sepatutnya. Tanpa itu semua, tanah yang subur akan menumbuhkan lalang dan rumput yang penuh duri.

Jiwa generasi hari ini, adalah jiwa tanah subur yang terbiar. Akhirnya keupayaan anak-anak untuk mengasihi, berpindah kepada mencari kekasih yang bukan kekasih. Pencarian itu menemukan kasih yang membinasa berupa dadah, dan segala gejala sosial yang tiada noktahnya. Walaupun dadah, arak dan seks itu merunsingkan kita, ia bukanlah masalah sebenar. Ia adalah bahasa generasi itu yang mahu memperkatakan sesuatu. Mereka mahu memberitahu kita, bahawa mereka dilahirkan sebagai kekasih. Tetapi kekasih itu tidak dikasihi, kasihnya tidak dibalas. Kerana itu, mereka perlu mencari kekasih lain. Dan kekasih yang ditemui itu adalah kebinasaan yang tiada jalan berpatah pulang.

Ya, ibu bapa harus sedar. Mengajar ABC atau Alif Ba dan Ta, mungkin boleh di’swasta’kan kepada guru. Soal membasuh kain dan memandikan anak-anak, mungkin boleh diberikan kepada orang lain. Tetapi soal kasih dan sayang, perhatian dan belaian, dari ibu malah bapa, tiada pengganti. Tidak mungkin boleh diganti. Manusia yang paling penyayang, tidak dapat memberikan kasih seorang ibu atau bapa kepada budak yang bukan anaknya. Dan jika kasih sayang itu tidak diberi, maka anak-anak menjadi seperti insan yang terdampar di padang pasir. Gersang, dahaga dan derita, yang fitrahnya menagih hanya satu, air!

Jika dahaga menagih air, lapar menuntut makan, maka kedahagaan anak-anak terhadap kasih dan sayang ibu bapa, hanya boleh diubat dengan kasih dan sayang ibu bapa. Itu fitrahnya, itu peraturannya. Jika dahaga diberi bantal, mengantuk dihulur makan, ia tiada makna, dan silap-silap berbalas marah. Anak mahukan kasih sayang, benak benar jika ibu dan bapa menghulurkan material lain, walau semahal mana pun ia, sebagai ganti kepada kasih sayangnya.

KASIH IBU BAPA, WASILAH MENGASIHI PENCIPTA IBU BAPA
SETERUSNYA, mampukah tanpa kasih sayang ini, anak-anak diharap dapat mematuhi peraturan? Jawablah dengan penuh yakin, bahawa TIDAK. Inilah rahsia mengapa Allah melantik ibu dan bapa sebagai guru pertama kepada setiap bayi yang lahir ke dunia. Oleh kerana ibu dan bapa adalah manusia yang paling kaya dengan cinta dan kasih kepada anak-anak mereka (rujuk artikel Cinta Tanpa Syarat), maka merekalah yang secara fitrahnya boleh menurunkan peraturan Aqidah, Syariat dan Akhlak kepada anak-anak.
Anak-anak berupaya untuk menurut peraturan rumah masing-masing, jika rumah itu kaya dengan kasih dan sayang ibu bapa. Dari situ jugalah, ibu bapa boleh mendidik anak-anak untuk menurut peraturan Allah, kerana didikan itu datang daripada dua insan yang paling menyayangi anak-anak tersebut. Dengan kasih sayang seorang ibu dan bapa, anak itu boleh diYahudikan, boleh diNasranikan, boleh diMajusikan malah boleh menjadi Mulhid. Kasih sayang ibu dan bapa boleh mengajak anak-anaknya beragama seperti mereka, dengan umpan berupa kasih dan sayang mereka kepada anak-anak. Malah bukan hanya semasa kecil. Ketika si anak beransur dewasa dan terbaring menghadapi Sakaratul Maut, ‘kasih ibu’ jualah yang menjadi umpan syaitan untuk mengajaknya mati dalam kekufuran. Naudhubillah. Itulah kuasa cinta dan kasih ibu, serta bapa.
Janganlah terkejut andai anak-anak begitu keras kepala untuk bersetuju dengan do’s and don’ts ibu bapa, jika antara mereka tiada kasih sayang. Pada anak, tidak perlu sampai didera atau diseksa. Cukup sekadar ibu dan bapa sibuk dengan diri masing-masing, ia sudah cukup untuk mereka tafsirkan sebagai BENCI.
“Ibu dan bapa yang hanya tahu membawa anak-anak mereka lahir ke dunia, adalah ibu bapa yang memBENCI kami!”

Buat tak reti adalah salah satu cara mempamerkan KEBENCIAN ibu bapa kepada anak-anak. Anak-anak ini menderita.Inilah kumpulan remaja yang ramai saya temui di pelbagai siri kursus. Mereka adalah generasi yang hairan, ibu dan bapa mereka sibuk bekerja untuk apa. Anak-anak ini kesunyian, dan mereka hilang upaya untuk memberikan tindak balas kepada peraturan hidup, kerana mata kailnya tidak berumpan. Umpan yang dimaksudkan itu adalah perhatian serta kasih dan sayang ibu bapa. Kasih sayang ibu bapa adalah kurniaan Allah kepada sebuah keluarga untuk mereka semua mengasihi dan menyayangi Dia, Pemberi kasih dan sayang itu.

Ibu bapa sering kehairanan, mengapa anak mereka degil dan enggan patuh. Makin bertambah umur, makan berani anak-anak ini mengabaikan do’s and don’ts ibu bapa mereka.
Ibu bapa ini terlupa, bahawa KEPATUHAN adalah buah KASIH SAYANG.. Berilah cinta, berilah kasih, nescaya patuhlah mereka yang sedang menikmati cinta dan kasih itu.

KASIHI RASULULLAH, TAPAK MEMATUHI SUNNAH DAN MENJAUHI BID’AH

Malah dalam konteks yang lebih luas, masyarakat tidak mungkin boleh menerima pendekatan hukum HALAL dan HARAM, jika ia tidak berlandaskan kasih dan sayang. Sayangkah masyarakat kita kepada Allah untuk mereka peduli tentang HALAL dan HARAM? Sayangkah masyarakat kita kepada Rasulullah, untuk mereka prihatin tentang SUNNAH dan BID’AH?

Tanpa kasih dan sayang, soal Halal dan Haram serta Sunnah dan Bid’ah adalah beban yang merimaskan. Sunnatullah telah pun menetapkan kepada kita bahawa KEPATUHAN adalah buah KASIH SAYANG.
Kamu adalah sentiasa bersama dengan siapa yang kamu sayang!

Inilah yang mesti menjadi renungan para ustaz, pendakwah dan muallim yang berada di tengah-tengah masyarakat. Selama ini, persoalan tentang apa yang boleh dibuat dan apa yang tidak boleh dibuat, semakin hari semakin sukar untuk dihayati oleh masyarakat. Pernahkah kita fikirkan tentang puncanya?
Sebagaimana anak susah hendak patuh perintah ayah yang tidak kelihatan kasih dan sayangnya, maka begitu jugalah dengan masyarakat kita hari ini. Mustahil untuk mereka mampu menghayati persoalan Sunnah dan Bid’ah, Dosa dan Pahala, Halal dan Haram, jika tiada kasih dan sayang kepada Allah dan Rasul di situ. Jika ada yang patuh sekali pun, kepatuhan itu berupa paksa rela dan membarah di dalam hati.

“Ya, dah Nabi cakap macam tu, berani aku nak lawan? Ikut ajelah”, ini suara-suara hati yang sedang memaksa diri untuk mematuhi Islam, tanpa kasih dan sayang. Dalam apa jua keadaan sekali pun, manusia memang dijadikan Allah fitrahnya inside-outside. Segalanya adalah dari dalam ke luar. Maka kepatuhan seseorang kepada Syariat Allah mestilah sesuatu yang datang dari dalam ke luar.

Ia tidaklah sama sekali bermaksud, peraturan dan undang-undang itu tidak perlu. Namun, jika kita bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata, maka lihat sahajalah kesannya. Bukan sahaja golongan dewasa, malah ramai pelajar sekolah agama yang ‘pencen awal’ daripada menjadi orang agama, sebaik sahaja meninggalkan bangku persekolahan. Isunya terlalu subjektif, tetapi tidak rugi untuk sistem Tarbiyah di sekolah-sekolah dinilai dari semasa ke semasa. Jika selama ini, kepatuhan murid hanya dicapai melalui pemaksaan tanpa ada redha serta kasih dan sayang dari dalam diri murid itu sendiri, maka sesungguhnya 5 tahun di sekolah agama, hanyalah sebuah kegagalan yang diwarisi secara berulang-ulang. Pendakwah, ustaz dan muallim mesti mencari jalan, bagaimanakah caranya untuk mereka memindahkan kasih sayang Allah dan Rasul kepada mad’u. Apakah caranya untuk masyarakat boleh merasakan bahawa dirinya disayangi oleh Allah dan Rasul?

KASIHKAN NABI HARGA ILMU DIRAYAH HADITH NABI

Persoalan ini adalah persoalan yang besar. Janganlah sekali-kali kita disibukkan dengan proses mengenalpasti kesahihan Hadith semata-mata, tetapi tidak pernah peduli tentang cara melaksanakan isi kandungan Hadith yang telah dibuktikan sahih itu. Jangan terpedaya dengan belitan Iblis, yang menipu Ahli Hadith agar hidupnya hanya sibuk dengan status hadith, tetapi alpa terhadap isi kandungan Hadith itu sendiri. Maka persoalan ini adalah sebahagian daripada alat yang diperlukan oleh gerakan membangunkan Sunnah!

Pendakwah perlu tahu, bahawa kasih dan sayang bukan hujah dan debat. Ia bukan perkataan tetapi perbuatan. Ia bukan bahasa lisan, tetapi bahasa badan. Kasih dan sayang adalah sesuatu yang dikecapi melalui lisan hal kita kepada insan yang disayangi. Tentunya belaian tangan ibu yang mengusap rambut anaknya, lebih berharga daripada sekadar ucapan, “Ummi sayangkan Amin”, apatah lagi jika pengucapannya dibuat melalui SMS.

Kita boleh mencari pelbagai nas untuk menerangkan tentang erti kasih dan sayang. Namun ia seperti manis gula yang hanya boleh difahami kemanisan itu oleh manusia yang menjamahnya.
Tidak mungkin lagi bagi manusia hari ini, dapat mengecapi sentuhan kasih dan sayang secara fizikal oleh Nabi Muhammad SAW. Jika dulu, sahabat mendengar, melihat dan merasa kasih sayang Baginda, namun kita tiada peluang itu.

Senyuman Nabi SAW yang indah itu, kita hanya membacanya di dalam teks al-Sunnah. Bersahajanya Baginda SAW bergurau dengan isteri dan rakan, dewasa dan kanak-kanak, hanya dapat kita temui pada lembaran-lembaran buku yang kaku. Pastinya kemahuan untuk dikasihi oleh Rasulullah SAW itu terlalu sukar untuk dibayangkan atau difahami oleh masyarakat hari ini. Maka, bagaimanakah mereka boleh mengasihi Rasulullah, sebagai kunci kepada kemahuan untuk mentaati ajarannya?

Ulama’ Itu Adalah Pewaris Para Nabi

Ya, itulah jawapannya. Para Ulama’ adalah pewaris Nabi. Merekalah yang menyambung perjuangan dan risalah para Nabi. Oleh itu, warisilah ajaran para Nabi itu dengan sebaiknya. Janganlah yang diwarisi itu hanya riwayat-riwayat yang dihafal pada lidah dan bibir.

Bagaimana dengan keindahan budi dan akhlak Nabi SAW? Bagaimana dengan kesegaran senyuman Baginda SAW? Bagaimana dengan sikap sabar dan toleransi Baginda SAW terhadap kawan dan lawan? Bagaimana dengan watak Nabi SAW yang begitu cool membiarkan cucunya memanjat tubuh tatkala Baginda SAW sujud? Tidakkah semua keindahan itu adalah sebahagian daripada apa yang diwariskan oleh Baginda SAW kepada kita?

Maka, sebelum bercakap tentang PERATURAN HALAL dan HARAM, SUNNAH dan BID’AH, pamerkanlah terlebih dahulu rasa prihatin, upaya memahami sebelum difahami, serta kasih dan sayangmu kepada manusia. Jika mahu menyampaikan mesej kasih sayang Nabi SAW, just be the message!
Ketika lisanmu tekun menyebut tentang ketinggian Sunnah, biarlah pada masa yang sama tubuh badan serta wajahmu menjadi cermin akhlak dan kasih sayang pemilik Sunnah. Jadikan dirimu sebagai jendela, untuk masyarakat menjenguk kepala mencari kasih dan sayang Nabi SAW. Senyumlah sedikit wahai pendakwah, maniskan wajah dan elokkan budi pekerti. Janganlah asyik diselubungi marah kerana ia cermin BENCI penghalang HIDAYAH.

UjiAN Dan HiKmAh Di SeBaLiknYa.....

Ujian adalah guru yang tidak bercakap, tetapi ia sangat mengajar dan mendidik. Ujian terkecil apalagi terbesar adalah takdir Allah. Yang mempunyai maksud tertantu. Kerana jahilnya kita, apabila ditimpa ujian samada secara langsung dari Allah atau melalui orang lain, kita mula elatah. Terasa Allah tidak adil, sengaja hendak menyusahkan kita. Atau kita menyalahkan orang yang mendatangkan ujian tersebut. Hati berdendam hati buruk sangka pada Allah yang mendatangkan ujian itu.

Allah Maha Pengasih; jauh sekali Allah takdirkan ujian hanya untuk menyusahkan hamba-Nya. Marilah kita sama-sama  cungkil  hikmah di sebalik ujian yang ditimpakan. Ujian sebenarnya melatih kita untuk mendapatkan sifat-sifat yang terpuji. Sabar, redha, tawakkal, baik sangka, mengakui diri sebagai hamba yang lemah, mendekatkan diri dengan Allah, harapkan ertolongan Allah, merasai dunia hanya nikmat sementara dan sebagainya. Berasa diri berdosa adalah juga sifat terpuji. Sebab itu bagi orang yang sudah banyak melakukan dosa atau lalai daripada mengingati Allah, maka Allah datangkan ujian kesusahan kepadanya. Supaya
hamba-Nya tadi tidak tenggelam dalam dosa dan noda. Kadangkala Allah dedahkan dosa yang dilakukan hingga ramai orang tahu. Bukan untuk menghinakan kita tetapi untuk memberi ingatan supaya kita bertaubat. Dan tidak meneruskan perbuatan dosa itu sehingga bila-bila Ujian juga bermaksud qisas (pembalasan) ke atas dosa-dosa kita. Setiap perbuatan dosa mesti dihukum, samada di dunia atau di akhirat (kecuali kita telah bertaubat sungguh-sungguh sehingga Allah mengampunkan dosa itu).

Bagi orang yang Allah kasih, di dunia lagi Allah hukum, tidak di akhirat. Yakni dengan didatangkan kesusahan, penderitaan, kesakitan, kemiskinan, kehilangan pengaruh dan sebagainya. Sekiranya kita boleh bersabar dan redha, maka itulah ganjaran pahala untuk kita. Sebaliknya kalau kita tidak boleh bersabar dan tidak redha, malah merungut-rungut, mengeluh dan memberontak, hanya akan menambahkan lagi dosa kita. Begitulah Allah Yang Maha Pengasih kepada hamba-hambanya, tidak mahu hukum kita di akhirat, kerana penderitaan di Neraka berpuluh-puluh kali ganda lebih dahsyat daripada penderitaan di dunia. Sekiranya kita telah dihukum di dunia lagi, kita patut bersyukur kerana apabila kembali ke akhirat, kita telah bersih daripada dosa. Adakalanya, kita ditimpakan kesempitan hidup. Sengaja Allah takdirkan demikian kerana Allah sayang pada kita. Allah hendak melatih kita menjadi orang yang bersabar dan redha dengan takdir-Nya. Mungkin kita akan sombong dan bakhil kalau dikurniakan harta melimpah ruah, maka Allah didik kita dengan kemiskinan.

Apabila kita diuji dengan kesakitan, Allah mahu memberitahu kita bahawa bagitulah susah dan menderitanya orang yang sedang sakit. Semoga kita menjadi orang yang bertimbang rasa; menziarahi dan membantu mereka yang menderita sakit. Orang yang sedang sakit, hatinya mudah terusik. Sesiapa saja yang datang dan memberi nasihat, InsyaAllah mudah diterimanya. Bagaimana pula kalau kita diuji dengan kematian orang yang paling kita sayangi. Ujian ini sangaja didatangkan agar terasalah kita ini lemah; tiada kuasa untuk menolak etentuan Allah. Akan tertanamlah rasa kehambaan di dalam hati, sekaligus membuang rasa bangga diri. Begitulah, sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan ujian itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan, dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya. Ujian juga adalah untuk menilai sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Semakin diuji sepatutnya semakin bertambah iman kita, dan semakin hampir kita dengan Allah. Firman Allah dalam surah Al Imran; 142 yang bermaksud:

     “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu dan belum nyata orang-orang yang bersabar.”
Firman Allah dalam Surah Az Zumar;10 yang maksudnya:      “Sesungguhnya diberi ganjaran orang sabar dengan pahala tanpa hisab.”

Allah takdirkan ujian demi ujian untuk memberi peluang kepada kita mendapatkan pahala sabar. Barangsiapa yang sabar dan redha tanpa mengeluh, merungut atau syurga. Oleh itu, apa salahnya Allah uji kita kerana hendak menyelamatkan kita di akhirat kelak! Berbeza pula halnya dengan ujian yang ditimpakan ke atas para Rasul, para nabi, wali-wali dan kekasih-kekasih Allah. Ujian ke atas mereka bermaksud untuk meninggikan darjat dan kedudukan mereka di sisi Allah. Sebab itu ujian yang mereka hadapi berat-berat belaka. Tatkala Rasulullah berdakwah ke Taif, masyarakat Taif bukan sahaja tidak menerima dakwah baginda, malah mencaci, menghina dan melempari baginda dengan batu dan najis. Para malaikat menawarkan diri untuk menghapuskan orang-orang yang berlaku durjana kepada baginda. Tetapi dengan tenang, baginda menjawab:

 
�“Biarkan mereka, jangan diapa-apakan mereka kerana mereka tidak tahu, mereka masih jahil.”
Demikianlah, orang-orang yang tinggi taqwa dan keimananya; tidak mengeluh apabila diuji. Berbeza dengan golongan orang awam seperti kita ni, apabila diuji kita mudah jahat sangka dengan Allah dan berdendam dengan orang yang mendatangkan ujian kepada kita. Walhal bukan orang itu yang hendak menyusahkan kita, tetapi hakikatnya Allah. Allah yang hendak uji kita, menggunakan orang itu sebagai perantaraan. Jadi, tanyalah Allah kenapa kita diuji….

Marilah kita lihat bandingannya. Katalah suatu ketika guru besar mengarahkan ketua murid merotan seorang murid yang melanggar disiplin sekolah. Apa reaksi murid yang dirotan itu? Kalau dia seorang yang insaf dan tahu diri, ia segera terfikir akan kesalahan yang dilakukannya, mungkin dia berazam untuk tidak mengulanginya lagi. Itulah murid yang cerdik, dia sedar hikmah di sebalik dia dirotan. Tetapi bagi murid yang tidak mahu berfikir, sudahlah tidak mahu mengaku kesalahannya, dia berdendam pula kepada ketua murid atau guru besar yang merotannya. Mengapa harus berdendam? Ketua murid hanya menjalankan tugas. Guru besar pula menjalankan keadilan; yang bersalah tidak dihukum, tidak ada jaminan yang dia tidak mengulangi kesalahannya. Kalau begitu, murid yang bersalah itu layaklah dirotan. Begitulah halnya dengan Allah yang Maha Pengasih. Berbagai-bagai cara Allah gunakan untuk mendidik kita.Diberikan-Nya ujian demi ujian sebagai peringatan kepada kita. Tetapi sedikit sekali yang mencari hikmah dan mengambil iktibar daripada ujian yang ditimpakan.

Malahan ujian membuatkan kita bertambah jauh dari Allah; mengeluh dan menyesali takdir Allah. Marilah kita menyedari akan kesilapan kita selama ini. Terimalah sagala ujian yang besar mahupun yang kecil sebagai satu didikan terus dari Allah. Dan ingatlah, andaikata kita diuji, kita masih wajib bersyukur kerana masih ada 1001 jenis nikmat lain yang Allah kurniakan kepada kita! Jadi mengapa mesti merungut ketika diuji?

Tuesday, 24 January 2012

Budaya Bercinta...

Bukan mudah hendak mengubah persepsi kita tentang bercinta. Sekian lama kita membentuk satu tanggapan dalam fikiran bahawa cinta adalah pra-syarat perkahwinan. Bahawa perkahwinan itu mesti didahului oleh hubungan cinta. Ada "dating", hubungan telefon dan lain-lain.


Bila dikatakan ada keindahan cinta selepas perkahwinan, kita menganggap janggal kerana ia berbeza dari persepsi kita tentang cinta. Oleh itu bermacam-macam persoalan timbul. Bolehkah bahagia bila berkahwin tidak didahului hubungan cinta? Bolehkah serasi? Dan bermacam persoalan lagi.

Mungkin kerana itulah agaknya ramai yang menganggap kehangatan cinta akan mendingin selepas berkahwin lalu mereka ingin menikmati kehangatan itu sepuas-puasnya sebelum perkahwinan. Dan ada yang mengambil masa yang cukup panjang untuk bercinta sebelum perkahwinan, kononnya mencari keserasian agar cinta terus berkekalan setelah perkahwinan.



`Cinta Sebelum Perkahwinan`

Bercinta sebelum kahwin mempunyai berbagai risiko yang bukan sekadar zina mata dan hati malah zina yang lebih besar yang boleh mengganggu jiwa sebab cinta sebelum kahwin ini adalah bersalut nafsu dan syaitan. Dalam keadaan sebegini bagaimana mungkin kita memiliki khusyuk di dalam sembahyang kalau diri diselaputi iblis dan syaitan?? Apabila hati kita diisi oleh cinta manusia dan nafsu, tiada tempat untuk cinta Allah.


Oleh yang demikian Islam amat menekankan kawalan terhadap hati agar tidak mudah terpesong meletakan neraca perasaan cinta kepada yang bukan hak melalui amalan seperti doa dan sebagainya.

Antara doa yang patut diamalkan : " Ya Allah, Kurniailah aku cinta- Mu dan cinta orang yang cinta kepada-Mu dan cinta orang yang cinta kepada orang yang boleh hampir kepada-Mu dan jadikan cinta terhadap Engkau (Ya Allah) terlebih aku cintai daripada air yang sejuk"


Doa ini wajar diamalkan supaya kita faham erti cinta yang menjadikan kita cinta kepada Allah atau menjadikan cinta kepada orang yang hampir dengan Allah. Jika seseorang itu cinta kepada manusia, ia mestilah cinta yang boleh menghampirkan diri kepada Allah.

Oleh itu jika kita sudah "fall in love", pastikan apakah cinta itu kerana Allah atau kerana nafsu. Kalau cinta itu kerana Allah, kita akan bertambah khusyuk di dalam sembahyang dan bertambah ibadah. Tetapi kalau cinta itu semakin menambahkan maksiat, bermakna cinta itu didorong oleh nafsu.


Namun begitu adakala cinta itu datang tanpa dipinta. Atau dalam erti kata yang lain "cinta pandang pertama" yang sememangnya tidak diundang yang boleh menganggu minda dan imaginasi.


Dalam keadaan yang sedemikian kita amat digalakkan untuk mengamalkan doa tadi. Kedua, mengerjakan solat Istikharah dan berdoa : " Ya Allah, aku suka orang ini, kalaulah dia ini betul-betul pilihan yang tepat untuk aku dunia akhirat, pertemukanlah jodoh kami. Jadikanlah dia isteri (atau suami) ku. Kalau tidak baik, Ya Allah, elakkanlah"


"If you love someone" mintalah kepada Allah yang mencipta diri kita. Ini kerana orang yang kita cintai itu juga adalah makhluk Allah. Allah berhak untuk menjadikan makhlukNya suka atau tidak. Silap kebanyakkan kita sekarang ini, terus direct kepada empunya diri.


Persoalan yang penting sekarang ialah apakah yang diperolehi oleh mereka yang bercinta sebelum kahwin apabila mereka sudah saling mengetahui segala perkara mengenai diri masing-masing. Sudah tidak ada nikmat selepas kahwin. Apatah lagi kalau sudah terlanjur, kemudian kahwin pula dengan orang lain dan ternyata suami itu cinta kepadanya. Individu akan menyesal kerana `she got nothing to offer` kepada suami yang betul-betul mencintainya. Ini akan melahirkan perasaan dendam dan bersalah. Jadi eloklah dijagai perhubungan kita.


`Cinta Selepas Perkahwinan` 

Bercinta selepas kahwin adalah merupakan sunnah Rasul. Mungkin terlalu ideal atau terlalu jauh untuk melihat tradisi perkahwinan Rasulullah s. a. w dan para sahabatnya yang serba indah. Tetapi cukuplah kita mengimbau trend perkahwinan masyarakat Melayu Islam satu ketika dahulu yang menyaksikan ramai yang berkahwin atas pilihan ibubapa dan perkahwinan itu ternyata berjaya.

Para ibubapa ketika itu memilih calon menantu mereka berdasarkan panduan yang diberikan oleh Nabi Muhammad s. a. w melalui sabdanya : " Dikahwini wanita itu atas empat perkara : harta, keturunan, rupa dan agama. Kahwinilah atas dasar agama nescaya kamu akan mendapat kebajikan". (mafhum hadis)

Bukan itu sahaja, malah trend masyarakat ketika itu juga sangat memandang tinggi nilai akhlak dan budi. Jadi perkahwinan melalui orang perantaraan (match maker) yang dipercayai kesolehannya juga mudah dilaksanakan. Dan perkahwinan tanpa didahului cinta sudah menjadi perkara biasa pada ketika itu.


Namun ini tidaklah menafikan perkara-perkara yang boleh dan memang dibenarkan oleh syariat untuk dilakukan sebelum sesuatu perkahwinan dipersetujui. Misalnya, seseorang dibolehkan melihat calon isteri atau suami, menyelidiki maklumat tentang pekerjaan, peribadi dan lain- lain latar belakang calon. Ini semua dapat dibuat dengan adanya pengaturan orang tengah - sama ada terdiri daripada keluarga atau teman-teman yang rapat. Tegasnya tidak payahlah seseorang itu sendiri bersusah payah mendapatkan maklumat tentang calon suami atau isteri melalui cara percintaan.


Tidak hairanlah kalau suasana bulan madu akan lebih panjang malah akan terus berkekalan sepanjang perkahwinan. Marilah kita dekatkan semula keindahan cinta dengan mendekatkan diri kepada Pencipta cinta. Rumahtangga pasti berseri apabila suami isteri sama-sama cintakan Ilahi.

nasyid hiburanku