Tuesday, 9 April 2013

Rahmat di sebalik musibah

Setiap musibah yang berlaku, sama ada kecil atau besar, pastinya mempunyai hikmah tersembunyi.

Pendakwah bebas, Ustaz Emran Ahmad berkata, sebagai hamba Allah, musibah yang terjadi tidak harus dikesalkan apatah lagi mempamerkan sikap sesalan pada yang Esa.

Menurutnya, Allah tidak turunkan musibah tanpa sebab kecuali ada perkara-perkara tertentu yang telah dilakukan oleh manusia di kawasan berkenaan.
“Cuba fikir sejenak, apakah perkara yang telah kita lakukan sehingga Allah turunkan musibah sedemikian?

“Bila sudah temui jawapan, jadikan perkara yang tidak disukai Allah itu sebagai satu pengajaran untuk memperbaiki diri menjadi yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat yang berdepan dengan bencana alam seperti banjir, gempa bumi, tanah runtuh dan sebagainya wajar menganggapnya sebagai ujian daripada Allah.

“Pada mangsa banjir atau sesiapa sahaja, mereka mesti percaya pada qada dan qadar. Terima apa yang berlaku dengan reda.

“Jangan cuba memporak-perandakan keadaan dan menyesali apa yang terjadi, sebaliknya banyakkan berdoa kepada Allah agar keadaan banjir, sama ada sedang atau akan berlaku kelak tidak mendatangkan kerosakan besar, kemudaratan dan memusnahkan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya kita diuji dengan pelbagai musibah termasuklah banjir besar, ucapkan kalimah istirja’ iaitu ‘innalillahi wainaa ilaihi raajiuun.

“Ini adalah kalimah kembali pada Allah yang bermaksud "kami ini adalah milik Allah dan sesungguhnya kepada Allahlah kami akan dikembalikan".

“Kalimah ini dibaca ketika kita diuji. Dalam masa sama, bacalah setiap masa kalimah istighfar,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Emran menasihatkan umat Islam agar mengucap syukur kepada Allah sekiranya Allah menguji seseorang itu dengan kesenangan dan kekayaan.

“Sebaliknya jika Allah uji kita dengan kesusahan, kemiskinan dan kepayahan, hendaklah kita banyakkan sabar dalam menempuhi setiap ujian daripada-Nya,” katanya.

Wednesday, 6 February 2013

Ini Sejarah Kita – Analisis Sejarah Sebuah Ummah

Mari kita melihat sejarah, dengan mata hati…

Kata Imam Abu Al-Qasim Al-Junaid:
Sejarah merupakan salah satu tentera Allah yang akan menguatkan hati…

Allah s.w.t. berfirman:
وَكُلا نَقُصُّ عَلَيْكَ مِنْ أَنْبَاءِ الرُّسُلِ مَا نُثَبِّتُ بِهِ فُؤَادَكَ وَجَاءَكَ فِي هَذِهِ الْحَقُّ وَمَوْعِظَةٌ وَذِكْرَى لِلْمُؤْمِنِينَ
Dan tiap-tiap berita dari berita Rasul-rasul itu, Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad), untuk menguatkan hatimu dengannya. Dan telah datang kepadamu Dalam berita ini kebenaran dan pengajaran serta peringatan bagi orang-orang Yang beriman.”(Surah Hud 11: 120)

Muqaddimah 1

1. Hadith I
 
عن أبي هريرة رضي الله عنه: قَالَ رَسُوْلَ الله صلى الله عليه وسلم:  ((الناس معادن، خِيَارُهُمْ فِي الْجَاهِلِيّةِ خِيَارُهُمْ فِي الإِسْلاَمِ. إِذَا فَقُهُوا)). صحيح البخاري- كتاب الأنبياء
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda “Manusia seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham” (HR Bukhari-Kitabul Anbiya’).

Nilai logam tidak akan berubah dalam mana-mana zaman. Sekiranya nilai itu ‘jahil’, nilai itu akan menyokong jahiliyyah dan sebaliknya, sekiranya ia ‘Islam’, nilai itu akan menyokong Islam. Segalanya bergantung kepada kefahamannya.

Antara Faham Hukum dan Faham Islam

Bahagian terakhir hadith ini, ”إذا فقهوا” mempunyai dua sebutan dan maksudnya berbeza:
1. إذا فقِهوا (Iza faqihu): memahami ilmu Fiqh. (Contoh: Imam As-Syafie).
2. إذا فقُهوا : (Iza faquhu): memahami Islam. (Contoh: Sumayyah).

Apa bezanya Sumayyah dan Imam As-Syafie? Kalau hendak dibandingkan dari segi bilangan ilmu, Imam As-Syafie lebih banyak mendalami cabang ilmu berbanding Sumayyah. Tapi mengapa Sumayyah yang berbekalkan kalimah “La ilaha illallah” menjadi orang pertama mati syahid? Di sinilah terletaknya perbezaan “Faqihu” dan “Faquhu”. Sumayyah memahami Islam manakala Imam As-Syafie memahami hukum. Kita ini seperti Sumayyah atau Imam As-Syafie?

Ramai yang mungkin mengetahui hukum Fiqh tetapi bukan memahami Islam itu sendiri. Sedangkan memahami Islam itu sendiri lebih penting sebelum mengetahui perkara-perkara lain termasuklah Ilmu Fiqh. Faham hukum tidak semestinya faham Islam dan begitu juga sebaliknya. 

Contoh 1 : Semasa era tahun 60an, ramai pelajar-pelajar jurusan agama di Universiti Al-Azhar (ustazah-ustazah) yang banyak mengetahui soal hukum-hakam tetapi masih tidak memakai tudung menutup aurat. Mereka mengetahui hukum Fiqh tetapi masih tidak memahami Islam. Berbeza pula pada tahun 80an, ramai pelajar-pelajar lepasan UK yang pulang ke tanah air dengan keadaan bertudung menutup aurat (sebelumnya tidak). Mereka ini memahami Islam tetapi tidak menguasai ilmu Fiqh. Mereka yang memahami Islam akan mengamalkannya walaupun sedikit, sebaliknya yang tidak memahami akan meninggalkannya walaupun telah datang hujah dan pengetahuan.

Contoh 2 : Semua orang tahu hukum menipu dan bohong itu berdosa, tapi berapa ramai orang yang menipu dan berbohong terutamanya orang yang cuba menipu diri sendiri?
Kita banyak memahami hukum Fiqh melalui kuliyah-kuliyah ‘Fardhu ‘Ain’ – subjek wajib di sekolah. Tetapi bagaimana kita mahu memahami Islam itu sendiri? Didiklah jiwa kita melalui proses usrah dan tarbiyyah.

Monday, 28 January 2013

Lelaki Dan Kepompong

Seorang lelaki telah menemui kepompong kupu-kupu di tengah jalan. Ada lubang kecil pada kepompong itu. Dia duduk mengamati lubang itu dan melihat ada kupu-kupu cuba berjuang untuk membebaskan diri melalui lubang kecil itu. Kemudian kupu-kupu itu berhenti mencuba. Ia kelihatan telah berusaha sedaya upaya dan kini tidak mampu untuk melakukan lebih jauh lagi. Akhirnya lelaki tersebut mengambil keputusan untuk membantu kupu-kupu tersebut. Dia mengambil gunting dan memotong sisa kekangan dari kepompong itu.
Kupu-kupu tersebut keluar dengan mudahnya. Namun, dia mempunyai tubuh gembung dan kecil, sayap-sayapnya berkeriut. Lelaki tersebut terus mengamatinya sambil berharap sayap-sayap itu akan mekar dan melebar sehingga mampu menampung tubuh kupu-kupu itu, yang mungkin akan berkembang seiring dengan berjalannya waktu. Namun, harapannya hanya tinggal harapan.
Hakikatnya, kupu-kupu itu terpaksa menghabiskan sisa hidupnya merangkak di sekitarnya dengan tubuh gembung dan sayap-sayap berkeriut dan tidak sempurna. Dia tidak pernah mampu terbang selama-lamanya…
Lelaki yang membantu kupu-kupu tersebut tidak mengerti bahawa kupu-kupu tersebut perlu berjuang dengan daya usahanya sendiri untuk membebaskan diri dari kepompongnya. Lubang kecil yang perlu dilalui kupu-kupu tersebut akan memaksa cairan dari tubuh kupu-kupu itu ke dalam sayap-sayapnya sehingga kupu-kupu itu siap untuk terbang dan memperoleh kebebasan dari kepompong tersebut.
Kadang-kadang ujian dan perjuangan adalah suatu yang kita perlukan dalam hidup kita. Jika Allah membiarkan kita hidup tanpa ranjau dan perjuangan, kita mungkin akan jadi lemah dengan ujian dan sentiasa berharap kepada makhluk lain. Kita mungkin tidak kuat untuk menghadapi rintangan bagi mencapai cita-cita dan harapan yang kita idamkan.
Allah swt sentiasa tahu yang terbaik untuk hamba-hambaNya
Kita mungkin tidak akan pernah dapat… terbang… jauh… Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang.
Kita memohon kekuatan dan keteguhan hati. Dan Allah memberi kita dugaan dan ujian untuk membuat kita kuat dan cekal…
Kita memohon kebijaksanaan. Dan Allah memberi kita berbagai persoalan hidup untuk diselesaikan agar kita bertambah bijaksana dan matang.
Kita memohon kemakmuran. Dan Allah memberi kita akal, tenaga dan masa untuk dipergunakan sepenuhnya bagi mencapai kemakmuran.
Kita memohon cinta dan kasih sayang. Dan Allah memberi kita orang-orang bermasalah untuk diselamatkan dan dicintai demi mencari keredhaanNya.
Kita memohon kemurahan rezeki dan kebaikan hati. Dan Allah memberi kita kesempatan-kesempatan yang silih berganti untuk kita gapai peluang yang ada.

Begitulah cara Allah membimbing kita.
Adakah jika kita tidak memperoleh apa yang kita idamkan, bererti bahawa kita tidak mendapatkan segala yang kita inginkan ?
Kadang-kadang Allah tidak memberikan apa yang kita minta, tapi dengan pasti Allah sentiasa memberikan yang terbaik untuk kita.
Adakala disebalik kejayaan yang kita pinta, kegagalan yang kita perolehi kerana itulah yang terbaik bagi kita. Mungkin kerana kejayaan itu bakal menjauhkan daripadaNya, bakal membuat kita lupa Pencipta, bakal menjadikan kita hamba yang lupakan Tuannya. Mungkin juga dengan kegagalan itu Allah mahu kita lebih dekat denganNya, mahu kita minta lagi daripadaNya, mahu kita sentiasa mengingatiNya.
Carilah hikmah disebalik perancangan-perancangan Allah kerana hikmahnya itulah yang terbaik untuk kita.

nasyid hiburanku