Tuesday, 22 January 2013

Exam....Masa Sibuk Atau Berehat?

Alhamdulillah, tamat sudah untuk semester satu tahun 2 – Semua soalan  telah selamat dijawab. Masih tinggal beberapa minggu lagi sebelum semester dua bermula bulan depan. Terasa dada ini begitu lapang sekali selepas berminggu-minggu diselubungi dengan persoalan “aduh…tak study lagi nih..”. 

Tentu ramai di kalangan kita yang sangat cemas bila berhadapan dengan exam. Kita rasa seolah-olah di dalam dunia ini kitalah orang yang paling sibuk mengejar masa. Minggu exam terasa bagai berada di zon perang – masa makan kena limit, tidur ala kadar, tak buka email, tak jawab telefon, dan ada yang sampai tak mahu ke masjid untuk solat berjemaah – takut nanti perjalanan pergi dan balik masjid akan membuang masa-masa berharga untuk study.
boystudy

Begitu jugalah dengan program-program dakwah dan tarbiyyah. Hampir semuanya ditangguhkan sementara waktu. Dauroh, jaulah, mukhayyam tidak boleh diadakan pada waktu ini. Usrah pun mahu dijadikan mangsa. Jika sebelum ini, usrah selama empat jam, musim exam sudah diqasar kepada satu atau dua jam.
Akhirnya, saya terfikir – musim exam yang baru berakhir ini, saya bersibuk atau berehat sebenarnya? Jika saya rasa saya sibuk, boleh jadi saya akan berehat selepas ini. Jika saya rasa saya berehat, maka sekarang masanya untuk kembali sibuk !
Semoga diri ini termasuk dalam kalangan mereka yang membantu agama Allah, agar nanti layak beroleh pertolongan dari-Nya.
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong(agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (47:7)

Wednesday, 4 April 2012

SEKADAR RENUNGAN :)

POTRET KEHIDUPAN " A PICTURE SPEAKS MORE THAN A THOUSAND WORDS"

Pepatah Inggeris di atas amat masyhur dan sering diungkapkan untuk menjelaskan kuasa dan impak gambar,foto, lukisan atau potret dalam memberikan gambaran tentang sesuatu perkara. Jika kita diminta menceritakan pengalaman atau keadaan yang pernah kita lalui, amat sukar untuk diungkapkan dalam perkataan. kadangkala mungkin memerlukan sebuah buku atau novel untuk menceritakan sesuatu episod dalam kisah kehidupan.
Jika kita pernah membaca novel Ranjau Sepanjang Jalan karya Sasterawan Negara, Datuk Shahnon Ahmad, kita dapat menatap betapa detilnya penceritaan beliau mengenai suasana sawah bendang dan perih getir kehidupan petani di Bonggol Derdap.
Betapa indah pun susunan kata, pasti tidak sama dengan gambaran sebenar. Sebaik mana pun tulisan kita, tidak dapat menggantikan potret yang ingin diceritakan. Inilah keterbatasan kata-kata dalam menggambarkan potret atau lukisan atau foto pastinya dapat mengungkapkan lebih baik daripada seribu perkataan.

LIHAT DENGAN MATA HATI

Inilah hikmah Allah S.W.T menyeru kita untuk melihat dengan mata penciptaan alam dan makhluk sekeliling kita. Dengan merenung keindahan alam ini, pasti berdetik di hati akan kehebatan rahsia penciptaan Allah S.W.T betapa hebat dan agungnya Allah S.W.T dan betapa kerdilnya kita dibandingkan dengan segala sistem cakerawala dan alam semesta yang sedang beredar dengan utuhnya.
Benarlah firman Allah S.W.T dalam surah Al-Imran ayat 190 yang menegaskan bahawa penciptaan langit dan bumi dan pengiliran malam dan siang adalah ayat kepada ulul albab. Indahnya kalimah yang digunakan iaitu ayat. Ayat bererti tanda atau petunjuk. ayat juga boleh membawa makna atau maksud yang boleh difahami. Allah S.W.T ingin kita merenung alam ini, untuk memahami makna dan hakikat penciptaannya. Alam ini ibarat potret yang membawa kita mengenali dan hampir dengan pencipta-Nya. Alam adalah potret yang membawa seribu makna dan rangkuman jutaan ayat-ayat Allah S.W.T
Jika kehidupan ini diibaratkan sekeping kanvas lukisan yang akan dicorakkan potret di atasnya, apakah rupa lukisan yang akan dilukiskan itu?
Benarlah sabda junjungan mulia rasulullah S.A.w dalam hadis baginda yang masyhur mafhumnya: " Setiap anak Adam dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka kedua-dua ibu bapalah yang mencorakkan sama ada dia menjadi Majusi, Nasrani atau Yahudi" ( Riwayat Al-Baihaqi )
Begitu dalam maksudnya ungkapan ini. Betapa anak itu ibarat kain putih yang terhampar, seperti kanvas yang akan di lakarkan potret di atasnya. apakah corak yang ingin kita lakarkan? Apakah insan yang berwajah Yahudi atau Nasrani? atau kita ingin melahirkan jiwa yang fitrah, putih bersih tanpa kotoran?
Junjungan Nabi S.A.W juga bersabda, menggambarkan hati kita ibarat hamparan putih. setiap kali kita melakukan dosa, maka akan tercatitlah satu titik hitam di atas kain tersebut. Semakin banyak dosa dan kesalahan kita, maka bertambahlahtompokan hitam itu, hingga lama-kelamaan hati akan penuh tompokan sehingga gelap kehitaman kerana noda dosa. Jika kertas lukisan telah kotor kehitaman, tiada lagi lukisan indah buat potret kehidupan kita.Oleh sebab itu, jagalah hati kita agar tidak dikotori dan tercemar dek kerana dosa 
Mencetak kehidupan bermula dengan mencetak hati. melakar lukisan hidup adalah mengikut garis lakaran hati. Jika hati cantik , akan berserilah wajah kehidupan kita, begitulah sebaliknya.Didiklah hati dengan cahaya rabbani dan nabawi. Didiklah diri kita dengan adab dan pekerti Nabi. Ajarlah diri kita menjadi hamba Tuhan yang Maha Latif. Corakkanlah kehidupan kita dengan panduan Al-Quran dan Sunnah. Coretkanlah kitab amalan kita dengan catatan amal soleh. Semoga kita bertemu dengan husn al-khatimah. InshaAllah:)


nasyid hiburanku